Monday, June 8, 2009

cerita Hanafee

petang kuliah itu tampak meriah. ramai yang datang. bagus. tapi agak mengecewakan bagi kaum adam. hanya sekelumit yang mampu menghadirkan diri. kaum hawa pula sudah selesa menawan 3/4 bilik itu. memang menarik perbincangan kali ini: surah al-bayyinah. surah bukti. simbol bahawa islam itu buka hanya pada teori dan hujah2 yang pada pandangan kaum orientalis yang tidak pernah berpuas hati dengan kesempurnaan, kesyumulan dan sifat menyempurna yang ada pada agama benar ini. ada sahaja tohmahan dan terjahan melulu yang tidak berasas dilontar oleh mereka. islam itu terlalu konservatif, tidak menepati cara hidup moden dan sebagainya. ludahan penuh sisa kejahilan orientalis ini terus menerus memenuhi dada akhbar yang turut sama menjahanamkan nama agama suci.

hanafee menghela nafas panjang, termenung seketika. matanya tenang mengorbit muka pendengar setia. sesekali matanya dipejam, dikelip beberapa kali, mencari dan mengikat ilham yang ligat melantun di dewan minda. lidahnya menjenguk, melewati bibir yang kering. ternyata wall heater bilik itu menjalankan tugasnya dengan baik, hingga kering bibir dibuatnya. hanafee membelek helaian buku hijau di hadapannya. tersenyum, dia melepaskan pandangan tenang pada audien yang sudah lali mengisar punggung, termangu menunggu.

'baik, itu part yang pertama', ujarnya memecah sepi yang memeluk suasana. audien yang sudah jauh berkhayal, kembali segar memasang telinga. pen di tangan belum puas menari. 'sebelum menyambung ke ayat yang seterusnya, saya teringat satu cerita mengenai seorang barber, tukang rambut-lah kalau dalam bahasa melayunya', dia mencuba menaikkan fokus para pendengar.

'begini ceritanya. ada seorang tukang rambut di satu bandar, terkenal dengan kehandalan beliau dalam menggunting rambut dan juga merapikannya. sedang dia menggunting rambut seorang pelanggan, dia mengomel dan berbicara hal ketuhanan pada pelanggannya:

*gambar hiasan

'tuhan itu tidak ada. kalau tuhan itu ada, pasti dan pasti tiada kedukaan, penderitaan di muka bumi ini. nah, cuba saudara lihat di luar sana. banyak sekali kesedihan di muka bumi ini. andai tuhan itu ada, masakan ada kesedihan? tuhan tidak menjalankan kerja dia la!', keluh si barber, menyentak si pelanggan dari lamunan. si pelanggan melirik barber, seraya tersenyum kambing. matanya dikecilkan, seolah gembira mendengar keluhan hati penggunting rambutnya.

helaian rambut terus gugur, menghias lantai jubin hijau kedai. gunting mengigit lagi.

si pelanggan senyap sehingga siap kerja si barber. bayaran dilunas, si pelanggan tersenyum kambing lagi, sambil menghayun langkah, keluar dari kedai. si barber masih mengomel, mengeja kesusahan dalam kamus kehidupan.

di hadapan kedai itu, duduk seorang pengemis. kusut rambutnya, panjang mengurai. janggut dan misai lebat menutup muka. pada matanya, terlukis jelas potret sayu, menagih kasih dari yang sudi. si pelanggan terus menggapai tangan si pengemis, menariknya terus ke pintu depan kedai si barber.

dada si pelanggan berombak, mengepam udara.

'wahai penduduk sekalian!', jeritnya kuat, menarik perhatian umum. sunyi seketika bandar itu. terhenti dek jeritan mengejut si pelanggan. berpusulah orang ramai merapati si pelanggan. 'ketahuilah, di bandar kita ini tidak ada penggunting rambut!', lontarnya. si barber menghempas pintu di belakang beliau, terkesima dengan kenyataan yang meluncur lancar dari bibir si pelanggan. sambil kemas menggenggam gunting di tangan, si barber membantah. 'habis, siapa yang menggunting rambutmu seketika tadi?'. merah mukanya, menahan amarah.

si pelanggan membiar si barber. 'kalaulah ada penggunting rambut di bandar ini, nescaya tidak akan ada insan seperti pengemis ini', ujar beliau, lansung mengangkat tangan si pengemis. si pengemis hanya terpinga, gagal mentafsir situasi. dia hanya membiar diri dibuli, sudah lali mungkin.

'memanglah dia akan jadi begitu. andai dia datang padaku, meminta pada ku agar dikemas rapi rambutnya, pasti ku lakukan, malah misai dan janggutnya jua pasti ku hias!', si barber tanpa silu mematah kata si pelanggan.

si pelanggan tersenyum lebar. nampak barisan gigi yang putih, menatah bibir yang kemerahan. 'nah, begitu jua halnya tuhan. andai manusia itu datang pada-Nya, meminta pada-Nya, pasti tiada lagi kedukaan, kesusahan, kusut dan menjerut seperti rambutnya si pengemis ini', sambut si pelanggan lembut, sambil menatap tepat muka si barber.

'sebagai hamba, kita perlu kembali pada-Nya, memohon pada-Nya. bukan Dia yang tidak membuat kerjanya, namun hamba-hamba-Nya yang sombong, menafikan kewujudan tuhan', rumusnya.

hanafee melunjur sedikit, mengurang penat di kaki. senyum mekar di muka, sambil mata disepet, menambah manis. para pendengar mengangguk setuju, memutar kembali cerita di minda. pen terus gelek. masing-masing tersenyum. hanafee mengitar pandangannya. semua nampak ceria dan gembira dengan cerita yang baru selesai; sisipan kuliah tafsirnya. ada yang ketawa kecil. audien sudah sedia menerima suapan seterusnya, bisik hanafee sendirian.

'okeh. kita teruskan dengan ayat seterusnya'.

No comments: