Friday, April 23, 2010

satu ketika

hujan mencurah semenjak pagi. titik-titiknya pantas membasahi bumi sejuk Ilam yang senantiasa basah tanahnya. gelombang kecik berolak bermain manja di lopak air. tenangnya irama ciptaan tuhan bermelodikan rintik-rintik hujan. gerimis pagi. kini sudah zohor, ia masih mampu mencurah kasihNya.

hujan gerimis.



pernah aku merasa hebatnya berada dalam suasana beragama. sibuk memikirkan nasib mereka yang tidak mampu merasa nikmat itu. meluang masa mencari dan memberi. ada sahaja masa untuk merenung kembali apa yang sudah dikerja, difikir.

sahabat-sahabat dekat di hati. terasa senang berjalan untuk mencari ketenangan. tiada rasa beban itu dipikul sendiri. mereka datang membantu dengan senyum penuh berseri. ada sahaja cadangan. terasa kami ini benar-benar ingin membantu. ingin menjayakan sesuatu yang besar. untuk agamanya.

ya. untuk agamanya.

hujan masih mencurah lembut. membelai rumput dan daun, menyegar mata yang letih dan jemu menghadam radiasi papan pemancar laptop. sunyi Ilam. tiada mereka yang meluncur skateboard lalu di bawah. tiada mereka yang bergelak ketawa menyanjungi kebahagiaan hari-hari. hanya larian dan peluk tubuh mereka yang kebasahan. basah dengan nikmat dari tuhan yang tiada mereka kenal. malah mungkin mereka benci.

aku rindu detik itu. aku rindu ketika itu. ketika aku ketagih perkenalan dengan Mu.

mereka yang membantu kini membatu. mereka yang mencadang kini hanya memandang. mereka yang pernah berkumpul untuk mengumpul idea, kini tumpul tiada suara. tidak ketinggalan, aku turut bersama mereka: membatu, malah membantut.

titis hujan kian galak menari. moga sejuk permukaan bumi ini.
semoga berisi kembali hati yang merindui.
menapak jalan mengenal tuhan.

No comments: